Tuesday, 26 November 2013

3 CARA BUAT DUIT MELALUI BLOG - IRFAN KHAIRI

Artikel oleh: Irfan Khairi

Ketika saya mula berjinak dengan Internet adalah pada tahun 2000. Pada ketika itu, blog adalah amat popular dan merupakan satu revolusi di Internet. "Blog" berasal dari perkataan "Web Log", yang pada mulanya digunakan seumpama buku catatatan "buku log" ataupun seperti sebuah diari merakamkan apa yang terjadi dan dilakukan setiap hari.

Sebut sahaja topik apa, pastinya terdapat blog yang berkisarkan topic tersebut, dari blog fesyen, blog hiburan, blog teknologi, blog gaya hidup, blog agama dan banyak lagi. Bagaimana caranya menjana pendapatan melalui blog? Artikel saya kali ini akan kongsikan beberapa kaedahnya.

Langkah pertama dalam mula menjana pendapatan melalui blog, sudah tentunya anda perlu memiliki sebuah blog. Pilih tajuk dan tema blog yang anda minati menulis mengenainya. Sudah pasti, mereka yang berbakat dan suka menulis mempunyai kelebihan dalam menghasilkan blog. Tugas anda adalah menyampaikan informasi yang boleh menarik perhatian sasaran anda melawat blog anda. Blog yang dapat menarik ramai pelawat boleh menjana pendapatan lebih banyak berbanding dengan blog yang kurang popular.

Cara pertama dalam menjana pendapatan melalui blog adalah melalui pengiklanan. Blog yang berjaya menarik pelawat juga akan boleh menarik pengiklan-pengiklan meletakkan iklan mereka di blog anda. Bergantung kepada isi kandungan dan tema blog anda, sekiranya blog anda menarik sasaran pasaran dari sesebuah bidang yang disasarkan oleh pengiklan, maka di situ, anda boleh menjual sebahagian ruang di blog anda untuk memaparkan iklan.

Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai blog fesyen yang berjaya menarik ramai penggemar fesyen setiap hari membaca blog anda, ini juga akan menarik perniagaan atas talian seperti penjual tudung, pakaian, kasut, aksesori dan lain-lain turut mengikankan perniagaan mereka di blog anda dalam menarik pelanggan yang membaca blog anda. Iklan-iklan sebegini seringkali berbentuk grafik yang dikenali sebagai 'banner' yang selalu terpapar dibahagian atas atau tepi sesuatu blog.


Cara kedua menjana pendapatan melalui blog adalah dengan mula menjual produk atau perkhidmatan sendiri. Apabila blog anda mula mendapat perhatian pengguna Internet, mungkin tiba masanya anda mengambil kesempatan ini untuk memulakan perniagaan berkisarkan tema blog anda.

Sebagai contoh, sekiranya anda menulis blog mengenai fotografi di mana ia merupakan hobi dan minat anda, pastinya yang datang berkunjung blog anda juga adalah daripada mereka yang meminati fotografi, atau sekurang-kurangnya ingin mempelajari mengenai fotografi dari hasil tulisan anda. Tiba waktunya untuk anda fikir seperti usahawan dalam memulakan kelas atau workshop fotografi dalam mengajar peserta kaedah fotografi secara bersemuka dan lebih praktikal. Melalui blog anda yang bermula "suka-suka", ia boleh menjadi punca pendapatan yang serius melalui perniagaan.

Satu lagi cara menjana pendapatan melalui blog adalah melalui program yang dikenali sebagai program affiliate. Caranya adalah umpama gabungan dua cara diatas, di mana, anda mengiklankan produk atau perkhidmatan usahawan lain di blog anda, dan sekiranya terdapat belian dari pelawat blog anda, anda akan menerima komisyen dari perniagaan tersebut.

Konsep perniagaan berbentuk affiliate adalah amat popular dikalangan bloggers oleh kerana ia mudah dan fleksibel untuk dimulakan. Dalam memulakan perniagaan sendiri, memerlukan modal dala membeli stok dan pengendalian perniagaan harian. Tetapi, melalui perniagaan affiliate, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan tanpa modal dan masalah pengendalian perniagaan. Apa yang perlu adalah untuk mencari program-program affiliate yang berkaitan dengan blog anda untuk anda sertai. Carian beberapa minit di Google sahaja pasti akan jumpa!

Dengan 3 cara menjana pendapatan melalui blog di atas, harapan saya anda kini sedikit sebanyak tahu langkah-langkah awal bagaimana anda juga boleh menjana pendapatan di Internet.

* Untuk maklumat lebih lanjut, lawat page Irfan Khairi.

No comments:

Post a Comment

Kalau suka cakap suka, kalau tidak suka cakap tidak suka, boleh diri ini perbaiki.. hihihi :) Terima kasih