Monday, 22 April 2013

Solat - Tiang Agama Dan Perkara Pertama Dihisab (Hadith-hadith berkaitan Solat)


Kelebihan Sujud Dalam Solat 

Daripada Abu Abdullah yang dikenali juga dengan Abdul Rahman Thauban RA hamba Rasulullah SAW katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ”Perbanyakkanlah sujud sesungguhnya sekali-kali tidaklah engkau sujud kerana Allah satu sujud pun kecuali Allah mengangkat dengannya satu darjat, dan hapuskan dengannya satu dosa."

Huraian Hadith: 

Dimaksudkan sujud dalam hadis ini adalah sembahyang, disebut sujud kerana sujud adalah rukun yang terpenting.
Sembahyang sunat dan ibadat umumnya meningkatkan darjat seseorang dan menggugurkan kejahatannya.
Setiap muslim hendaklah sentiasa menjaga sembahyangnya terutamanya sembahyang fardhu.

Hakikat Solat

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku'nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.

Huraian Hadith: 

Pengajaran:
i) Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana sembahyang yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riya' dan takabur. Sembahyang yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.

ii) Sesungguhnya sembahyang dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati. Hal ini bermula dengan berwudhuk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang sembahyang.

iii) Sembahyang berjamaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya. Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersembahyang pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin.

iv) Selain kebersihan zahir, sembahyang juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana sembahyang merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari tuhan-Nya. Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu sembahyang di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T.

Solat Pada Waktunya

Dari Abu Dzar r.a katanya:Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku, sambil menepuk pahaku: Apa yang engkau lakukan jika engkau berada dalam lingkungan kaum yang suka melalaikan solat dari waktunya? Jawabku:Apa perintah tuan untuk saya? Sabda baginda, solatlah pada waktunya (sekalipun sendirian). Sesudah itu selesaikanlah segala urusanmu. Jika kebetulan orang solat berjamaah dan engkau masih berada dalam masjid, maka solatlah pula (bersama mereka).

Huraian Hadith: 

Solat bukan perkara yang remeh di dalam agama. Bahkan ia menduduki tempat teratas dalam penilaian ketaatan manusia sehinggakan di padang Mahsyar kelak setiap amalan manusia didahului kiraannya daripada solat itu sendiri. Jika baik dan sempurna ia dikerjakan maka semua amalan berikutnya akan baik. Hal ini kerana fungsi solat itu adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kajahatan dan kemungkaran. Begitulah sebaliknya. Oleh itu janganlah kita merasa berat untuk melakukan solat kerana perasaan itu membuka peluang kepada syaitan untuk melalaikan kita dengan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang menarik nafsu seperti duduk-duduk berkumpul dan berbual-bual sehingga terleka atau terlalu asyik membeli belah sehingga terlupa akan solat. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengerjakan solat itu pada awal waktu meskipun secara sendirian daripada terlewat mengerjakannya kerana sebab-sebab yang sebenarnya boleh dielakkan. Bahkan dalam hadith di atas Rasulullah s.a.w menggalakkan kita merebut pahala solat berjamaah sekalipun kita telah selesai mengerjakan solat (sendirian) demi menekankan akan kepentingan menyegerakan solat dan keutamaan berjamaah.

Makruh Melambatkan Solat Daripada Waktunya

Dari Abu Dzar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bertanya: Apa yang anda lakukan jika semua pembesar atau pejabat negeri telah sama-sama mengundurkan solat dari waktunya? Jawabku: Apa perintah anda kepadaku? Jawab Rasulullah s.a.w: Solatlah kamu sendirian pada waktunya! Jika kemudian engkau dapat pula berjamaah bersama-sama mereka, solatlah lagi, dan solatmu itu adalah sunat (keuntungan) bagimu.

Solat Dalam Keadaan Tenang

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang. Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan mana-mana rakaat yang tertinggal.

Huraian Hadith:

1. Apabila iqamat sembahyang dibacakan, janganlah kita tergesa-gesa (berlari-lari anak) ke masjid, tetapi hendaklah berjalan dengan tenang dan sopan.
2. Jika terlambat sedikit, ikutilah sembahyang berjamaah bersama imam dengan mengikut rakaat yang sempat.
3. Hikmah bersifat tenang dan tidak tergopoh-gapah adalah untuk memberi keselesaan semasa sembahyang iaitu agar sembahyang yang dikerjakan tidak dalam keadaan tercungap-cungap sehingga bacaan menjadi tidak sempurna.
4. Semasa mengerjakan sembahyang, kita bukan sahaja dikehendaki mementingkan suasana yang tenang tetapi jiwa dan fizikal juga mesti tenang agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaddhuk.

Hukum Meninggalkan Solat Wajib

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.

Huraian Hadith:
1. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.
2. Solat merupakan tiang agama.Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna ia telah meruntuhkan agamanya.
3. Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.
4. Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha' solatnya yang tertinggal itu.

Disiplin Dalam Solat

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:Bersabda Muhammad s.a.w.: Tiadakah takut orang yang mendahului imam mengangkatkan kepala sebelum imam, bahwa Allah akan mengubah kepalanya menjadi keldai?

Huraian Hadith:

Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama. Malah batas antara iman dan kufur ialah solat. Melaksanakan solat mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan yang merupakan sebahagian daripada disiplin yang wajib dilaksanakan. Demikian juga solat turut membentuk disiplin pelakunya terutama jika kita solat berjamaah yang menuntut supaya menghormati imam (ketua) dan tidak boleh mendahului imam dalam setiap pergerakan. Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjaga disiplinnya dalam bersolat nescaya dia juga akan menjadi efisien di dalam pekerjaan yang dilakukannya.









No comments:

Post a Comment

Kalau suka cakap suka, kalau tidak suka cakap tidak suka, boleh diri ini perbaiki.. hihihi :) Terima kasih